Sebuah pengalaman sewaktu menghadiri temuduga di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran
Disember 2012, saya menerima surat panggilan temuduga daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), yang akan diadakan pada 15 Januari 2013 (Selasa) bertempat di Bilik 2, Sandakan Hotel. Sebaik sahaja menerima surat tersebut, saya kemudian membuat persiapan. Tugas-tugas sebagai penyelia asrama, isu-isu semasa dan wawasan 2020 menjadi bahan bacaan untuk tujuan itu. Tips ini saya dapat melalui seorang senior dari UUM dahulu dan kini berkhidmat sebagai pembantu makmal di SMK Tinusa Sandakan.
Kelmarin, 15 Januari 2013, saya telah pun selesai menghadiri temuduga dan di sini saya ingin berkongsi pengalaman mengenainya. Temuduga dijadualkan bermula pada pukul 7.30 pagi tetapi saya tiba lewat sedikit lebih kurang pukul 7.35 pagi. Setelah mendaftar dan diambil segala salinan dokumen yang dikehendaki oleh urusetia, saya bersama 4 orang calon menunggu giliran untuk ditemuduga. Semasa pendaftaran, markah penuh diberikan sebanyak 5% jika seseorang calon aktif dan pernah memegang jawatan sewaktu di sekolah menengah. Saya cuma dapat 4.5% kerana bagi mereka yang sudah bekerja seperti saya, markah penilaian prestasi dan tempoh berkhidmat di ambil kira untuk pemarkahan awal. Bagi mereka yang mempunyai Diploma atau Ijazah, janganlah diceritakan hal tersebut kerana panel akan tolak permohonan anda samada secara terang-terangan atau secara senyap.
Dipendekkan cerita, kami berlima dipanggil untuk masuk ke bilik temuduga. Terdapat dua orang penemudga yang sedang duduk di dalam bilik tersebut Mereka ialah Puan Wanihim, Penolong pegawai pelajaran daerah sandakan dan Encik Megat Yusman dari Ibupejabat SPP, Putrajaya. Antara soalan yang diajukan kepada setiap seorang dari kami ialah;
1) Latar Belakang diri (keluarga,pendidikan, dan kerja terkini)
2) Kelemahan yang ada pada diri anda. (soalan simbolik. jangan cerita kelemahan sebenar, sebaliknya cerita kelemahan tetapi ada kelebihan. contohnya, apabila melihat rakan membuat kerja seorang diri, saya tidak akan senang duduk melihat begitu sahaja. saya akan bantu dia walaupun saya penat. oleh itu, kelemahan saya ialah saya tidak dapat menahan perasaan untuk menolong rakan yang sedang berkerja seorang diri).
3)Antara tugas penyelia, manakah tugas yang anda rasa terlalu mencabar dan bagaimana untuk mengatasinya.
4) Situasi-bagaimanakah untuk memastikan kebersihan, keselamatan dan keselesaan di asrama.
5) Apakah yang anda faham mengenai wawasan 2020.
6) apa isu semasa yang anda rasa hangat diperkatakan pada masa kini.
Setelah selesai kelima-lima orang calon menjawab soalan yang diajukan, kami kemudian beredar kerana sesei temuduga telahpun selesai. Kini, hanya doa dan tawakkal kepada Allah s.w.t sahaja yang dapat dibuat. Pada saya, walaubagaimana sekalipun kita menjawab soalan yang diajukan, jika itu adalah rezeki kita, InsyaAllah, ia akan jadi milik kita.
Tips menghadiri temuduga
-Faham apa bidang tugas jawatan yang anda pohon.
-Isu-isu semasa yang anda rasa hangat diperkatakan masa kini.
-lontarkan idea dan pandangan dengan cara kreatif.
-Jangan terikut-ikut dengan jawapan calon lain. Jawapan anda mungkin lagi baik.
-Jika tidak tahu jawapan, jujur bagi tahu bahawa anda tidak tahu.
-Jangan bercakap terlalu laju kerna ini akan menyebabkan anda lupa idea-idea penting yang hendak disampaikan.
-Berdoa Selalu. sebagai hamba di muka bumi, jangan lupa kepada Sang Pencipta. segala apa yang kita dapat di dunia ini, semuanya atas izinNya.
Semoga berjaya!!!